Mempunyai kenderaan adalah satu keperluan pada dunia hari ini. Namun, melihat pada kadar gaji bulanan, hampir mustahil buat kebanyakkan orang untuk membayar secara ‘lump sum‘ dan perlu bergantung pada insitusi kewangan bagi memiliki sesebuah kenderaan.
Ramai di antara kita yang membuat pinjaman bank untuk membeli kenderaan seperti kereta dan motorsikal. Kadar ansuran bulanan dan tempoh pembayaran pinjaman kenderaan pula berbeza mengikut kemampuan individu itu.
Buat mereka yang kurang berkemampuan pasti agak ‘struggle‘ untuk membayar komitmen pada setiap bulan. Detik paling melegakan dan membahagiakan adalah apabila bebas hutang dan habis komitmen bulanan membayar pinjaman bank untuk kenderaan tersebut.
Namun dalam kegembiraan habis bayaran pinjaman, jangan lupa untuk menukar hak milik kenderaan. Penting membuat prosedur mengecop E-Batal di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ini kerana selepas geran tersebut telah di cop, barulah kenderaan tersebut menjadi milik kita sepenuhnya.
Untuk faham lebih lanjut, baca perkongsian daripada Penasihat Kewangan, Puan Nadia Izzati ini sebagai rujukan.
Perkara Kita Perlu Buat Bila Dah Habis Bayar Pinjaman Kereta atau Motorsikal.
Pernahkah anda melihat pada bahagian bawah geran kenderaan anda yang terdapat satu ayat tertera hak milik dituntut oleh syarikat pinjaman kereta di mana anda membuat pinjaman?
Maksud E-Batal adalah kenderaan tersebut masih menjadi hak milik bank atau pemberi pinjaman kewangan. Jadi, kenderaan tersebut bukanlah hak milik anda sepenuhnya lagi.
Tukar Hak Milik
Bagi mendapatkan hak anda sebagai pemilik kenderaan terbabit, langkah penting adalah dengan menghapuskan status hak milik dari pemiutang kepada hak milik anda secara mutlak.
E-Batal
Urusan menyelesaikan hak milik dari pemberi pinjaman dipanggil E-Batal. Syarat utama untuk E-Batal adalah anda perlulah sudah habis bayar ansuran pinjaman tersebut. Jika belum, selesaikan hutang-piutang kenderaan terlebih dahulu.
Kebebasan bermula apabila sesiapa sahaja berjaya melangsaikan hutang pinjaman keretanya. Benar bukan?
Selesai sahaja pembayaran terakhir, anda akan diberikan geran asal oleh syarikat kereta yang anda berurusan. Kemudian, anda perlu hadir ke cawangan JPJ berhampiran untuk mematikan hak milik peminjam.
Surat Pelepasan
Jadi, untuk meneruskan prosedur berikut, pastikan pihak pemberi pinjaman telah mengeluarkan surat pelepasan. Namun, lebih baik lagi surat tersebut terus mereka hantarkan kepada JPJ.
Prosedur selesaikan E-Batal di JPJ amat mudah sebenarnya. Perkara yang paling penting adalah anda harus menghubungi pihak pemberi pinjaman wang untuk belian kereta.
Pastikan anda bertanya sama ada surat pelepasan sudah dikeluarkan dan telah dihantar ke JPJ ataupun tidak. Jika sudah dihantar, terus ke cawangan JPJ berhampiran tempat tinggal anda.
Di cawangan JPJ tersebut, jangan lupa mengecop geran kereta anda mengikut prosedur mereka. Jangan risau, proses mengecop E-Batal bukanlah perkara yang rumit. Selepas geran tersebut telah di cop, kereta tersebut telah menjadi milik anda sepenuhnya. Mudah kan?
Kesimpulannya, ramai yang masih belum mengetahui perkara yang perlu dilakukan selepas habis bayar pinjaman kereta. Ada juga sehingga bertahun-tahun masih tidak membatalkan hak milik. Prosedur selesaikan E-Batal di JPJ amat mudah sebenarnya. Jadi, bagi anda yang masih belum batalkan hak milik kereta, sila tukarkan sekarang untuk memudahkan urusan pada kemudian hari.
Semoga perkongsian ini membantu memudahkan urusan anda.