Peliknya..Rumah Dah Tinggal 3 Bulan, Rumah Tak Berhabuk Langsung,Tersusun Kemas. Aku Ternampak Rambut Uban Putih Panjang

Biasa kalau nasi dimasak, aku selalu lupa nak basuh periuk nasi tu, tertinggallah saki baki nasi dalam tu, bukan sekejap, sampai dua tiga hari jadinya terlupa nak cuci saki baki nasi tu. Tapi korang bayangkanlah, dah dua tiga hari, bila aku buka periuk nasi tu, nasi masih dalam keadaan elok dan tak basi.

Asalamualaikum kawan-kawan, terima kasih kerana mengizinkan kisah luahan aku ni diterbitkan oleh admin. Aku hargai sangat. Maaf, kisah ini merupakan kisah yang terpahat kemas dalam ingatan dan juga menjadi kenangan pahit atau mungkin juga manis? Aku pun conpius sebenarnya…

Gambar Hiasan

Korang baca sahajalah ye, tapi ini kisah benar ya, bukan sekadar reka-rekaan. Cerita ini benar-benar berlaku dalam hidup aku. Ianya berlaku dalam beberapa tahun lepas. Rezeki Allah, aku telah dapat satu tawaran kerja yang menjadi dambaan semua orang. Kata orang inilah rezeki permulaan hidup aku.

Kisah ini adalah kisah pengalaman aku mula tinggal di rumah sewa selepas mula berpjj dengan suami. Aku tinggal berseorangan di rumah ini. Rezeki tuhan, aku mengandung selepas 6 bulan berkahwin. Selepas aku mendapat tawaran kerja ini, aku berusaha cari rumah yang dekat dengan tempat kerja ni supaya mudah untuk aku berulang-alik.

Syukur Alhamdulilah, aku dapat sewa satu rumah yang jaraknya mengambil masa perjalanan 10 minit sahaja untuk sampai ke tempat kerja. Aku tak fikir panjang dah, terus ambil keputusan setuju tinggal di rumah tu dan bayar deposit kepada tuan rumah. Maka dapatlah kunci rumah sewa tu. Aku takde pun nak soal siasat ke apa, aku terus masuk rumah tu bila sampai hujung minggu.

Aku mengaku, aku ni seorang yang naif, takde pun siasat, baca review ke apa. Rumah ni sebenarnya nampak juga suram ,sunyi dan menyeramkan, tapi aku ni jenis takde perasaan ke, berani ke, aku pun tak tau lah. Aku tak tahu perasaan berani tu datang dari mana.

Tiba malam pertama aku tidur di rumah tu, aku ni jenis tidur bergelap. Tak suka tidur dalam cahaya, silau. Tepat jam 12 malam, ‘Ketanggggg!’ aku terdengar bunyi satu benda berdentum jatuh atas lantai. Bunyinya seolah olah menghentam lantai dari luar bilik.

Terkejut wehhh, bila aku terjaga dari tidur tu, aku spontan bangun, bukak lampu dan keluar dari bilik, yang anehnya, tiada apa-apa pun kat luar bilik. Biar betul! bunyi punyalah kuat menghentam, sekali takde apa apa. Aku tak fikir panjang pun, terus sambung tidur, aku anggap benda tu mimpi jee… malam keesokannya pulak, aku iron baju di bilik tengah. Rumah ni ada tiga bilik sebenarnya.

Tengah aku duk sibuk iron baju, korang boleh bayang tak, tiba tiba bunyi pintu ‘keriekkkkk kreeeek’ berulang kali bunyi macam tu. Lepas kerap sangat bunyi, aku anggap sahaja anak jiran kot main pintu bilik. Punyalah husnuzon aku ni.

Boleh kata setiap malam, aku diganggu bunyi pelik. Tapi aku tak cerita pun kat suami aku, tak tahulah apa yang sedang bermain di fikiran aku ni. Dah pindah kan, malas lah nak fikir cari tempat lain, hadap je la asalkan tempat kerja dekat dengan rumah untuk berulang alik. Duit pun jimat gila!

Gangguan tu berterusan, terus kena ganggu, kali ni bunyi guli pulak. Aku pun tak pastilah bunyi tu bunyi apa, tapi aku fikir bunyi macam guli, kadang bunyi duit syiling jatuh di atas lantai, aduh tiap-tiap malam bunyi tak kira siang malam. Kadang-kadang tu, aku penat balik kerja, aku lepak lah dulu kat ruang tamu sambil layan mata, belum mandi lagi.

Keting, ting tingggg” dia main berdenting-denting pulak, lagi dan lagi. Aku punyalah positif masih fikir itu anak jiran punya kerja duk main guli kot. ngok tak akuu.. aku pun tak paham , apa hal yang pendekar sangat aku ni, dah macam pahlawan. Haha bukan itu je tau, masa aku tengah mandi, pernah aku rasa bila aku tengah mandi dalam tandas, seolah-olah aku rasa macam ada hembusan nafas yang datang dekat bucu telinga aku. Seram rasanya weh, memang seram.

Setiap kali aku mandi, mesti selalu ada simen-simen kecil dari bumbung tandas jatuh atas rambut aku. Kenapa la ye selalu macam tu? bila aku tengok kat atas, takde apa apa pun, hairan sungguh laa. Nak dijadikan cerita lagi, aku ni pelupa orangnya, tak tahulah mungkin pembawakan baby kot.

Bila aku masak nasi, aku selalu lupa nak cuci saki baki nasi dalam periuk tu. Kadang-kadang tu aku ada jugak beli nasi bungkus, tinggal sorang kan, sudahnya masuk dua tiga hari jugaklah aku tak ingat nak basuh periuk nasi tu. Korang boleh bayang tak? dah dua tiga hari saki baki nasi tu ditinggalkan, bila aku buka periuk nasi tu, nasi masih dalam keadaan elok dan tak basi. Ko rasaaa??

Boleh kata setiap hari, memang ada kejadian anehh berlaku masa aku menyewa kat rumah tu. Macam-macam cerita lagi sebenarnya, panjang pulak kalau aku nak cerita semua. Sehinggalah aku berjaya beli rumah sendiri dalam daerah yang sama. Aku tinggal rumah sewa tu pun hampir dua tahun.

Sehinggalah aku bersalin anak pertama, aku bercuti pantang selama 3 bulan. Bila aku datang balik rumah tu, korang boleh bayang tak, aku dah tinggalkan rumah tu 3 bulan. Rumah takde sawang langsung, habuk pun takde. Lantai elok aje, macam ada orang menyapu. Ish rumah ni ada penjaga ke.. pelik lah!

Bila sampai aje, suami aku minta jangan masuk lagi, tunggu je dalam kereta, suami masuk azankan dulu rumah tu di setiap penjuru. Syukur, lepas tu, kejadian pelik pelik tu dah macam, entahlah, macam dah slow sikit berbanding masa aku mengandung dulu.

Kemudian, tadi aku ada cerita kan, aku ada beli rumah area sini, tiba masa untuk aku pindah kat rumah baru tu. Selepas sahaja rumah siap dibina, aku pun berpindah ke rumah baru. Aku pun kemas rumah, clearkan barang malam tu.

Ceritanya tak habis kat sini, masa aku tengah kemas tu, aku terjumpa uban putih, panjangnya rambut, aku duk belek-belek, eh ni bukan benang ni, aku tarik aje, putus-putus. Wehhh dah macam rambut ni. Meremang habis tengkuk aku, habis tegak! Jadi bermakna selama ni yang duk ganggu aku ni makhluk halus lah yang berupa orang tua ke? seramlah pulak, alamak aiii.

Gambar Hiasan

Sebelum aku berpindah ke rumah baru, sempat jugak bersalam salaman dengan jiran sebelah. Makcik tua depan rumah sewa ni. Barulah makcik ni cerita macam-macam dekat aku, katanya sebelum ni memang ada budak bujang sewa rumah tu tapi tak tahan dengan gangguan.

Paling seram, dia punya cerita sebijik macam aku, paling sama part rasa nafas dalam tandas tu. Allahuakbar, baru sekarang makcik ni nak cerita, mungkin dia risau takut cerita ni menakutkan aku kot. Takpelah aku bersyukur, Allah tak buka hijab aku untuk nampak dia selama dua tahun aku tinggal disitu. Sampai dekat sini sahaja cerita aku, terima kasih ya sudi baca

Aima (bukan nama sebenar).

1 thought on “Peliknya..Rumah Dah Tinggal 3 Bulan, Rumah Tak Berhabuk Langsung,Tersusun Kemas. Aku Ternampak Rambut Uban Putih Panjang”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top