Sesiapa sahaja pasti ada impian untuk mempunyai rumah sendiri sebagai sebuah mahligai kecil untuk satu keluarga berteduh dari hujan dan panas. Boleh dikatakan semua orang ada impian yang sama untuk memiliki rumah sendiri, tetapi bukan semua orang mempunyai rezeki yang sama dan ada kalanya sesetengahnya itu perlu melalui cabaran dan ujian untuk memiliki rumah sendiri.
Antara punca kenapa ramai gagal memiliki rumah sendiri adalah kerana pendapatan yang tidak mencukupi serta kos membina rumah yang di luar kemampuan. Tahukah anda walaupun kos untuk membina rumah sendiri dikatakan lebih jimat, ianya masih lagi perlu menelan kos hingga ratusan ribu ringgit dan pemiliknya perlu mempunyai bajet yang besar.
Hal ini menyebabkan seorang wanita telah bernekad membina rumahnya sendiri dengan titik peluhnya dengan keluasan sekitar 1200 kaki persegi.
Ianya adalah satu pencapaian yang luar biasa bagi seorang wanita dan telah mendapat perhatian ramai orang di media sosial. Pastinya ia adalah satu perkara yang jarang berlaku malah lelaki pun belum tentu boleh melakukannya.
Wanita ini adalah seorang ibu tunggal dan guru agama yang bergelar ustazah, wanita yang berusaha membina rumah sendiri ini adalah lepasan Diploma Dakwah dari UnipSAS.
Pemilik akaun tiktok wanifaizun ini telah berkongsi perjalanan dan progress beliau membina rumah sendiri dengan menggunakan tulang empat keratnya. Kegigihan Ustazah ini adalah suatu perkara yang cukup ganjil dan unik untuk diperkatakan, kerana dalam masa yang sama, beliau turut sibuk menguruskan seorang anak yang masih kecil dan perlukan perhatian.
Oleh kerana kos yang tinggi dan bajet yang tidak mencukupi, beliau menggunakan kemahiran yang ada untuk membina rumahnya sendiri di tanah dengan keluasan 1200 kaki persegi itu.
Orang cakap, nak seribu daya, tak hendak seribu dalih, begitulah perumpamaan yang kita boleh katakan hasil usaha wanita ini. Walaupun beliau sendiri tidak mempunyai pengalaman dalam ilmu pertukangan dan bina rumah, ia bukanlah penghalang kepada pemilik nama sebenar Auni Haswani Faizun untuk menyiapkan rumahnya dari hasil idea tangannya sendiri.
Haswani merupakan bekas pelajar lepasan Diploma Dakwah dan Pengurusan dari Universiti Islam Pahang Ahmad Shah (UnIPSAS) berkongsi,
“sebelum ni saya tak pernah pun tanya tukang rumah berapa jumlah keseluruhan kos kalau nak buat rumah, tapi apa yang pasti kos bahan mentah semua mahal kerana harga barang sudah naik , kalau upah orang lagi mahal”
“saya ada jugak tanya kawan berapa upah kalau buat kandang kambing , dia cakap kosnya hampir RM10,000”
“jadi saya ambil keputusan untuk buat sendiri” ujar beliau ketika ditemuramah oleh Astro Awani.
Beliau tidak dapat pinjaman bank, hanya guna duit gaji dari mengajar Al-Quran dan Fardhu ain di asrama, Auni Haswani sebenarnya sudah lama merancang untuk membina rumah sendiri selepas ibunya membahagikan tanah-tanah kepada adik beradiknya.
Beliau mempunyai 6 orang adik beradik, empat darinya telah menerima tanah di tempat lain. Kemudian bahagian tanah rumah milik maknya diberikan kepada beliau dan adiknya. Tapak garaj inilah yang sedang diusahakan untuk membina rumahnya sekarang.
Beliau bertindak demikian kerana kesukarannya untuk mendapat kelulusan pinjaman dari bank. Kegagalan itu menyebabkan apa yang dirancang dalam proses pembinaan rumah tidak berlaku seperti dalam perancangan dan sudah jauh lari dari tempoh yang sepatutnya.
Akhirnya, Auni Haswani bertindak menggunakan duit gaji yang ada daripada hasil mengajar Al-Quran dan kelas Fardhu Ain di asrama. Rutinnya, apabila waktu pagi , beliau akan mula bertukang melakukan kerja-kerja bina rumah.
“Pada waktu pagi, saya akan bekerja sebagai tukang kayu “ujarnya yang telah menimba pengalaman awal dari ayahnya sendiri sewaktu melakukan kerja-kerja ubah suai dapur di rumah mereka sebelum ini.
Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak ini berkongsi, rumah yang diusahakannya itu mempunyai dua bilik tidur dan cukup untuk keperluan mereka anak beranak. Beliau turut cuba belajar dari youtube selain daripda menimba pengalaman sendiri dari ayahnya. Beliau menggunakan platform yotube kerana diakui banyak ilmu yang diperolehnya dan tambahan lagi ianya adalah percuma.
“Saya pengalaman takde, tapi sebelum ini saya pernah mengubah suai dapur rumah mak dan ayah , saya ikat bata sendiri. Dari situ saya belajar kerana saya cuma kerja buat kabinet sahaja. Pada masa yang sama ada jugak selalu tengok tukang rumah membancuh simen sehingga siap menaikkan dinding” kongsi beliau yang menjangkakan rumah itu siap tahun hadapan.
Beliau merasa tugas itu tidaklah terlalu berat untuk ditanggung dan ia telah jadi perkara biasa. Dia sendiri pun sudah biasa melakukan kerja-kerja lasak. Cuma kerja membuat rumah ini agak berat ketika hendak membancuh simen, oleh sebab itu, dia lakukanya dalam kuantiti yang sedikit sahaja.
Di ruangan komen, rata-rata netizen memuji kegigihan wanita ini
“ni baru layak hantaran RM20,000”
“Alamak lagi cantik dia bata dari aku, saya pun buat rumah sendiri”
“untung dapat bini macam ni, bawak keluar modal beli barang, rumah dah siap”
begitulah antara respon netizen yang sangat mengkagumi usaha beliau ini.
Dari kisah ini, tiada yang mustahil untuk kita usahakan sesuatu, asalkan tiada sikap putus asa dan mencuba sehabis baik untuk mencapai matlamat yang diinginkan. Semoga wanita ini berjaya menyiapkan rumahnya ini dengan cantik dan mendiaminya nanti.