Tak Sanggup Tengok Kawan Berhenti Kelas KAFA, Budak Ini Diam-Diam Simpan Duit Sekolah Bayarkan Yuran

Sahabat sejati pada zaman kanak-kanak tidak main-main. ‘Brotherhood‘ mereka begitu kuat. Susah dan senang tetap sama-sama.

Bercerita mengenai menabung, kebiasaannya jika kanak-kanak mula menyimpan, tentunya ada barang yang mahu dibeli seperti permainan.

Namun lain pula dengan kisah anak kecil ini apabila membuat simpanan bukan untuk dirinya, sebaliknya bagi membantu rakannya yang dalam kesusahan.

“Semalam Yusuf minta RM20, untuk genapkan simpanan dia selama sebulan yang dah capai RM80.

Tujuannya nak bayarkan yuran kawan. Bulan lepas dia maklumkan sedih, ada kawan nak berhenti sekolah petang (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) sebab tak mampu bayar yuran,” tulis seorang bapa menerusi satu perkongsian di Facebook.

Berkongsi cerita itu, bapa kepada kanak-kanak itu, Mohd Nasaie Ismail berkata, anaknya Yusuf yang berusia 12 tahun telah memaklumkan mengenai hasrat untuk membantu rakan sebayanya, sejak bulan lalu.

“Dia beritahu, boleh tak tolong bayarkan yuran kawan dia. Saya kata boleh. Tapi saya pun dah lupa. Senyap jelah. Lepas tu dia tengok kita tak hulur duit kat dia, dia kumpul sendiri. Walhal kita ni lupa dah.

“Rupa-rupanya dalam diam dia kumpul duit belanja sekolah dan duit yang atok, opah, tok wan bagi. Dapatlah RM80. Yuran nak dibayar RM100,” katanya.

Bagaimanapun bapa kepada lima anak itu menjelaskan Yusuf yang merupakan anak kedua tidak bercerita lanjut mengenai latar belakang rakannya itu.

“Memang dia sekolah di bandar tapi di kawasan ini juga ramai miskin bandar. Jadi, kes-kes sebegini selalu kami dengar,” katanya.

Sebagai bapa, Nasaie mengakui sangat gembira melihat anak lelakinya mahu membantu rakan dalam kesusahan, sambil menambah anak-anaknya terpengaruh dengan budaya saling bantu-membantu sewaktu mereka sekeluarga berada di Australia selama beberapa tahun.

Menurutnya, tiga anaknya yang pertama pernah bersekolah di Melbourne sejak 2015 hingga 2018 sewaktu dia menyambung pengajian di negara kanggaru itu.

“Membantu, cakna terhadap orang sekeliling memang jadi budaya yang sangat mendalam di Australia, dan budaya itu dibawa balik ke Malaysia.

“Ada saja benda yang anak-anak fikir nak tolong orang,” katanya yang menyifatkan Yusuf sebagai anak yang lemah-lembut, paling penyabar dan suka menolong adik-beradiknya.

Menurut Nasaie lagi, dia juga terkesan dengan sikap baik yang ditunjukkan anaknya itu.

“Alhamdulillah Yusuf dah bayar dan rakan dia sangat gembira. Kadang-kala apabila tengok anak anak sebegini akan menyedarkan kita bahawa ukuran yang kita letakkan pada setiap anak-anak tidak boleh sama terutama dalam akademik.

“Bukan semua anak anak mempunyai keupayaan yang sama. Tetapi setiap anak-anak pastinya dijadikan dengan kelebihan tersendiri yang unik dan perlu diraikan kelebihan tersebut,” katanya.

p/s- Hebatnya didikan ibu bapa kanak-kanak ini sehingga dia begitu prihatin dengan nasib rakannya. Semoga Yusuf membesar menjadi insan yang banyak membantu masyarakat pada masa akan datang.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top