Seorang ayah amat jarang meluahkan perasaannya kepada orang lain. Sering kita lihat seorang ayah lebih banyak untuk berdiam, menyerahkan segala urusan keluarga kepada ibu untuk putuskannya. Ayah selalu tak kisah, ikut sahaja asalkan yang terbaik. Tak kira dalam soal memilih calon menantu, nak bercuti dimana atau apa sahaja. Itulah sikap kebiasaan seorang ayah.
Ayah juga jarang mengeluh jika kepenatan kerana bekerja, kerana sudah difahami itulah tanggungjawab seorang ayah untuk anak isteri.
Namun kali ini, penulis terpanggil untuk berkongsi satu luahan hati dari seorang ayah yang jarang kita dengar
Inilah luahan hati ayah yang ada 11 orang anak.
Luahan hati seorang ayah cukup berat untuk dikongsikan, namun pak cik ini hanya memejamkan mata dan berharap kisah ini boleh dijadikan pengajaran buat siapa yang mengamati luahannya. Nama pakcik ini adalah Major Ahmad Radzi Hashim, 69 tahun dan dia adalah bekas juruterbang helikopter dan juga sebagai tenaga pengajar industri penerbangan tentera. Beliau pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Diraja Malaysia bermula tahun 1968 sehingga 1990. Selepas dari itu, beliau ditugaskan pula sebagai tenaga pengajar di institusi latihan penerbangan awam di seluruh Malaysia.
Boleh kata dari segi pangkat, kedudukan, gaji semua ada. Ianya menjadi keinginan semua orang. Beliau telah memiliki segala-galanya ketika muda. Beliau telah berkahwin dan rezeki dikurniakan 11 orang anak dan menjadi seorang ayah.
Major Radzi mempunyai 5 anak perempuan dan 6 orang anak lelaki. Ianya adalah ujian besar buatnya. Semua anaknya boleh dikatakan semua berjaya, ada ijazah, berpendidikan tinggi, ada rumah, berkeluarga, dan juga ada kereta mewah macam mercedes dan BMW.
Tapi apa yang menyedihkan, beliau sangat jarang bertemu anak-anaknya. Dalam 6 ke 7 bulan sekali barulah ada yang telefon bertanya khabar. “Ayah apa khabar?”
Tiada pun yang bertanya tentang kesihatan dirinya. Kejayaan anak-anaknya tidak setanding dengan bakti anak-anaknya terhadap dirinya. Ada juga satu hari berlaku, beliau baru sahaja tiba di ibu kota, menelefon anaknya
“ayah bawa banyak barang nak, tolong jemput dengan kereta ya” katanya meminta tolong kepada anaknya.
Anak beliau hanya mengiakan sahaja. Sehinggalah dia tunggu berjam-jam lamanya, dia akhirnya tersadai di tengah jalan ibu kota dan mengambil keputusan balik sahaja dengan bas. Bila beliau sudah sampai di KL Center, barulah anaknya telefon
“ayah , saya dah sampai ni” kata salah seorang anaknya
jawab beliau “takpalah anak, ayah dah sampai” jawab Major (retd) Ahmad Radzi Hashim
Sebenarnya, dulu pun saya pernah buat perkara yang sama kepada ibu bapa saya.
Beliau tetap memujuk hatinya dengan berkata, beliau tidak menyalahkan anak-anaknya, saya sebenarnya berkecil hati dengan diri saya sendiri, saya pun pernah buat kepada ibu bapa saya dahulu. Kongsi Major dengan penuh hiba.
Beliau masih ingat, dia sendiri tidak pernah cium pun tangan ayahnya. Tidak pernah! cium tangan ibu pun boleh dikira dengan jari selama dia hidup. Ketika memiliki segala-galanya sebagai orang berjawatan, dia mampu ada pendapatan yang lumayan. Tapi beliau menyesal, beliau tidak pernah beli kasut dan baju baru untuk ayahnya dengan duit gajinya itu.
Bukan sebab tak mampu, tapi beliau gagal menghargai ibu bapanya pada ketika itu. Rasa sungguh menyesal!
Saya menyesal , ibu bapa saya pun sudah tiada
Rasa menyesal itu terlalu dalam dan menghantui dirinya, ibu bapa saya pun sudah tiada di dunia ini. Dengan kesihatan yang masih diberikan ini, saya mengambil kesempatan untuk menjaga ibu mertuanya. Inilah cara saya untuk menghabiskan sisa-sisa hidup yang masih berbaki lagi. Beliau ingin menebus kesalahannya yang lampau.
Ibu mertuanya itu sudah pun uzur, tak boleh berjalan lagi dan hanya terlantar di atas katil. Pakai pampers sahaja. Maka terlintas dihati beliau, inilah peluang yang ada untuk memperbaiki kesalahannya yang lalu.
Oleh yang demikian, beliau nekad untuk menjaga ibu mertuanya itu, pakaikan pampers, buang najisnya dan cuci. Itulah sahaja kesempatan yang Allah berikan untuk menebus segala kesalahannya yang lalu kepada ibu bapanya.
Beliau turut berkongsi nasihat bawah ingatlah dosa kita kepada ibu bapa akan dibalas dunia lagi sebelum di akhirat.
Hal ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad S.A.W. Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendaknya sehingga hari kiamat, kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya, Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi
(Hadis Riwayat Al-Hakim 7263)