Nama Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dato’ Dr. Wan Ismail adalah nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada seluruh rakyat Malaysia. Umum sudah mengetahui nama ini kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri(TPM) wanita pertama yang dilantik di Malaysia.
Beliau diumum menjawat jawatan itu oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas keputusan mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14, dimenangi oleh Pakatan Harapan, di mana Dr Wan Azizah merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Dilahirkan pada 3 Disember 1952, Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail bukanlah calang-calang orang. Beliau pernah mendapat pendidikan di Kolej Tunku Kurshiah dan seterusnya melanjutkan lagi pengajiannya di Royal College of Surgeons in Ireland dan dianugerahkan gelaran Dr. dari institusi pendidikan itu.
Beliau berkhidmat sebagai doktor di hospital kerajaan selama 14 tahun dan berhenti selepas suaminya, Anwar Ibrahim dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa isteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu Datin Seri Wan Azizah merupakan pelajar perubatan terbaik (Gold Medal) Royal College of Surgeon, Ireland tahun 1977.
Nama beliau ada tercatat di salah sebuah dinding kolej tersebut dan gambarnya dikongsikan oleh salah seorang sahabat kita yang berada di sana melalui Twitter.
Sesuatu yang membanggakan, di kalangan nama-nama Mat Salleh yang tercatat sebagai pelajar terbaik, ada juga nama rakyat Malaysia di situ.
Perjalanan Beliau Dalam Politik di Malaysia:
- 1999: Karier politik Wan Azizah Wan Ismail bermula ketika PKR menang 5 kerusi parlimen dan penyandang kerusi bagi parlimen Permatang Pauh.
- 2004 hingga 2008: Mengekalkan kerusi parlimen Permatang Pauh. Kemudian, beliau memberikan jawatan tersebut pada suaminya, Anwar Ibrahim yang ketika itu dilepaskan dari penjara.
- 2014: Beliau memegang kembali jawatan itu selepas suaminya di penjara semula. Memegang kerusi parlimen Kajang
- 2015: Beliau mengekalkan kerusi Dewan Rakyat Permatang Pauh untuk Pakatan Rakyat.
- 2018 : Menang parlimen Pandan dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Pertama kali dalam sejarah Malaysia, seorang wanita dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tahniah diucapkan kepada Dato’ Seri Dr. Wan Azizah binti Dato’ Dr. Wan Ismail kerana anda telah membuktikan bahawa wanita bukanlah satu kaum yang lemah. Kami sebagai rakyat jelata merasa bangga dengan pencapaian ini. Secara tidak langsung ianya dapat menaikkan lagi martabat seorang wanita di mata dunia. Tahniah!