Kehidupan ini boleh diumpamakan seperti roda. Ada masanya kita dibawah, dan sampai masanya kita berada di puncak teratas. Namun, itu bergantung pada usaha yang tidak putus-putus bagi mencapai kejayaan yang diidamkan.
Itulah yang berlaku pada seorang lelaki muda dari Britain yang pada mulanya cuma bekerja sebagai penghantar piza, kini hidup mewah selepas menubuhkan sebuah syarikat di garaj rumah ibu bapanya.
Ben Francis, (30 tahun) telah menubuhkan sebuah syarikat pakaian sukan jenama Gymshark pada 2012. Pakaiannya kini dimiliki oleh ramai ahli sukan, selebriti dan peminat pakaian sukan di seluruh dunia.
Francis kini menjana pendapatan sehingga £1 bilion (RM5.1 bilion) dan mampu membiayai percutian mewah, memiliki motosikal mahal dan berkahwin dengan seorang model kecergasan. Hidupnya kini jauh lebih baik daripada menjadi seorang budak penghantar pizza di Birmingham.
Syarikatnya yang berpangkalan di Solihull, West Midlands berasal dari permulaan yang sederhana, lapor akhbar The Sun.
Francis pada awalnya menceburi bidang perniagaan suplemen kesihatan sebelum meninggalkan perusahaan itu kerana tidak mendapat keuntungan seperti diharapkan.
Titik tolak kejayaan Francis bermula ketika dia sukar untuk mencari pakaian gimnasium yang disukainya. Francis memutuskan untuk membuatnya sendiri dengan meminta neneknya mengajar cara menjahit.
Francis ketika itu masih belajar sepenuh masa di Universiti Aston, Birmingham sambil bekerja sebagai penghantar piza.
Dia mula meraih keuntungan selepas menawarkan pakaiannya di pasaran selain berhenti belajar untuk menguruskan Gymshark dan dua perniagaan lain secara sepenuh masa.
Jenama itu akhirnya melonjak popular dengan 5.8 juta pengikut di laman Instagram.
Siapa sangka kan? Bermula hanya dengan menjahit pakaian kini telah mengubah hidupnya. Bak kata pepatah, usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil. Bagi kebiasaan orang selalunya mereka tidak nampak peluang, tapi orang berjaya pasti melihat peluang yang ada dan mencipta peluang itu sendiri.
rotisusu.com
terbaik lah