“Bukan Kerana Saya Bijak, Tapi Berkat Ibubapa” – Pengakuan Pensyarah Lengkap Tesis PhD 3 Bulan Di Bumi Kanggaro

Kejayaan seseorang itu sebenarnya datang dari doa, keredaan dan berkat ibubapa mereka. Doa ibu ayah itu tanpa hijab. Itulah yang menjadikan kehidupan seorang anak itu berjaya dan bahagia dalam hidup.

Begitulah yang dirasai oleh pensyarah di Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Muhamad Syahrul Fitri Zawawi yang mengakui berkat berbuat baik dengan ibu ayah menjadikan perjalanan hidupnya dipermudahkan.

Bayangkan dalam tempoh tiga bulan dia dapat berjaya menyiapkan PhD perubatan. Malah ini mencipta sejarah tersendiri apabila tesisnya disiapkan dalam tempoh singkat.

Walaupun memakan masa yang singkat, namun tesis yang ditulis itu mendapat kelulusan cemerlang sehingga Muhamad Syahrul berjaya menamatkan PhD dalam tempoh tiga tahun di The University of Adelaide, Australia.

Lebih menarik, penulis buku bertajuk Hikayat Budak PhD: Bukti Anak Melayu Cemerlang ini juga melanjutkan pengajian tanpa memerlukan sijil sarjana kerana memperoleh kejayaan ‘First Class Honours’ ketika di peringkat sarjana muda.

Memakai nama gelaran Syahr Musafir, ikuti perkongsian beliau yang pernah diberi penghormatan sebagai pembawa cokmar untuk mengetuai para pegawai atasan pada istiadat konvokesyen di The University of Adelaide.

“Jangan tunggu saat akhir untuk tulis tesis, tetapi tulis bermula ketika hari awal pendaftaran PhD, konsisten hingga ke hari akhir untuk hantar.

“Selain itu, rancang penulisan terlebih dahulu dan tingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di peringkat awal.

“Biasakan diri menulis dalam bentuk ayat dan bukan dalam bentuk poin, ‘milestone’, ‘proposal’, eksperimen, pengumpulan data, analisis, pembentangan di konferensi juga perlu ikut.

Pelbagai lagi perkongsian pengalaman secara teknikal dan bak kata orang, sebagai inspirasi dan motivasi.

Saya tidak berkongsi teori tetapi saya selalu berkongsi pengalaman secara kisah benar atau praktikal.

Tetapi di sebalik semua itu, ada satu cerita yang saya tidak pernah ceritakan. Ini ceritanya….

Saya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD ketika saya masih belajar sarjana muda di Australia.

Saya ditawarkan biasiswa Australia, tetapi saya menerima tawaran biasiswa yang diberikan kerajaan Malaysia. Sebab apa? Dua sebab.

Satu, tawaran biasiswa Malaysia berpakejkan jawatan kerjaya tetap di Malaysia selepas tamat pengajian PhD. Kalau biasiswa Australia, tiada jawatan tetap tetapi jawatan kontrak di Australia. Saya tidak pernah merancang untuk terus tinggal di Australia, saya nak balik kerja di Malaysia. Jadi pilihan biasiswa Malaysia menjadi keutamaan saya.

Dua, biasiswa Malaysia datang bersama elaun sara hidup di Australia (saya tak nak sebut berapa ribu Australian dollar setiap bulan) dan juga elaun sara hidup di Malaysia bernilai RM2800 setiap bulan walaupun saya sekeluarga tidak berada di Malaysia. Duit di Australia dapat, duit di Malaysia pun dapat. Berbeza dengan biasiswa Australia, hanya beri duit di Australia sahaja. Mana mungkin saya nak tolak tawaran biasiswa Malaysia

Saya berikan sepenuhnya elaun sara hidup di Malaysia kepada ibu bapa saya, biarkan mereka pegang kad bank saya.

Saya buat begini supaya ibu bapa dan adik saya di Malaysia lebih senang kerana ada duit masuk setiap bulan.

Jadi, tiga tahun bersamaan 36 bulan, saya menyara mereka walaupun saya bersama isteri dan anak-anak berada di Australia, hingga kami pulang ke Malaysia selepas saya tamat pengajian.

Saya di Australia bukan hidup senang lenang pun. Isteri saya Rahimah Ab.Rahman Rahimah AR Zawjah mengambil upah menjaga anak-anak orang lain untuk bantu saya menyara kehidupan.

Saya bekerja sebagai tutor akademik di universiti mengajar para pelajar perubatan di sana, bekerja sebagai cleaner, kerja kuli ‘burn CD’, jual burger di surau, jual burger di tepi jalan, pernah buka gerai di Asian Food Festival jual roti jala kuah kari ayam, jadi laboratory demonstrator di universiti mengajar pelajar ijazah sarjana muda Anatomi, bekerja sebagai penghantar piza sebelum diberikan kepercayaan menjadi pembuat piza, pernah kerja sebagai pemetik buah, dan sebagainya. Macam-macam kerja saya buat, asalkan dapat duit.

36 bulan x RM2800, jumlahnya RM100800. Ada kawan saya, selepas tamat PhD selama 4 tahun, balik Malaysia boleh guna duit tu sebagai modal untuk buka cafe, bukan 1 buah tetapi 2 buah cafe.

Ada kawan saya gunakan duit itu sebagai modal beli kereta mewah. Ada pula yang gunakan duit itu untuk renovate rumah. Yang lain biasanya gunakan untuk bayar komitmen sedia ada di Malaysia seperti bayaran rumah, kereta dan sebagainya, seperti kebiasaan orang berkeluarga. Saya pula berikan 100% kepada ibu bapa.

Saya sebenarnya tak sedar segala perjalanan PhD saya, walaupun pernah gagal eksperimen, tikus mati, komputer rosak hingga hilang data, dan pelbagai lagi, sebenarnya perjalanan saya sangat mudah.

Saya hilang data setelah menjalankan 7 eksperimen, saya telefon Umi saya, saya beritahu Umi, Umi cakap “Jangan risau, Allah akan bantu…” saya boleh ulang semua eksperimen tanpa saya rasa susah pun. Smooth saja.

Saya menghadiri konferens di beberapa buah negara dengan harapan untuk bawa pulang anugerah pembentangan atau apa sahaja, walaupun Bahasa Inggeris saya biasa-biasa saja ada sesekali saya gagap di pentas, tak sangka dapat anugerah yang bukan nombor 3 atau 2, tetapi tempat pertama. Nampak cemerlang.

Dan apabila perlu hantar tesis, saya sendiri tak percaya saya mampu siapkan penulisan tesis dalam masa 3 bulan 10 hari dalam keadaan berstatus suami kepada isteri saya dan berstatus ayah kepada 2 orang anak kecil, tak tahulah bagaimana magisnya saya telah mampu mencipta kejayaan itu.

Tak cukup dengan itu, dapat awards lagi, jadi mace bearer, beri ucapan di majlis konvokesyen depan ribuan orang, dapat PhD pada usia 27 tahun.

Selepas ibu saya pulang ke rahmatullah pada Feb 2020, saya diingatkan kembali bahawa segala kemudahan perjalanan pengajian akademik saya bukan disebabkan saya ini bijak, tetapi berkat kerana berbakti terhadap ibu bapa dan keluarga.

Bersempena hari lahir saya yang ke-35 saya nak sebut, jika benar mahu berjaya, berbaktilah kepada ibu bapa dan keluarga sehabis baik dan semampu yang boleh.

ALLAH telah membuktikan hakikat bahawa apabila seorang anak berbuat baik kepada ibu bapa, akan dimudahkan jalan untuk anak itu mencapai kejayaan dalam pengajian.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top