Pada hari ini, Vatican memegang rekod sebagai negara terkecil di dunia dengan berukuran hanya 0.44 kilometer persegi. Namun tahukah anda? pada ketika dahulu terdapat sebuah negara kecil bernama ‘Tavolara’.
Di luar pesisir pantai Sardinia, Itali terdapat sebuah pulau kecil bernama Tavolara yang dahulunya merupakan sebuah kerajaan. Pulau ini begitu kecil dan hanya mempunyai keluasan dengan panjang 5 kilometer dan lebar 1 kilometer. Di satu bahagiannya yang menghala ke bahagian pantai Itali, terdapat sebuah gunung dan pantai.
Kawasan pantai inilah satu-satunya kawasan yang didiami oleh manusia di pulau ini. Lebih menarik, pulau ini suatu ketika dahulu hanya didiami oleh sebuah keluarga sahaja selama 200 tahun lamanya atau bersamaan dengan 7 generasi. Keluarga besar ini adalah daripada keturunan Giuseppe Bertoleoni yang mengisytiharkan pulau ini milik mutlaknya suatu ketika dahulu.
Sejarah pendudukan Tavolara
Giuseppe Bertoleoni merupakan seorang imigran yang telah tiba di pulau ini pada tahun 1807 dengan tujuan untuk memulakan hidup baru bersama salah seorang daripada 2 isterinya dan anak mereka. Beliau melarikan diri kesini untuk mengelakkan dikenakan hukuman kerana mengamalkan bigami.
Bigami adalah sebuah perkahwinan di mana seseorang lelaki mengahwini wanita lain walaupun sudah berkahwin dengan wanita lain. Perkara ini menjadi kesalahan di Itali pada waktu tersebut. Beliau pada mulanya datang seorang diri ke pulau ini sebelum turut membawa isteri dan anak-anaknya.
Di pulau ini, keluarga ini meneruskan kelangsungan hidup dengan menangkap ikan dan membela kambing.
Pengiktirafan sebagai seorang Raja
Sebaik menjejakkan kaki di pulau ini, Giuseppe Bertoleoni menganggap dirinya sebagai pemilik pulau itu. Pulau ini dikatakan mempunyai spesis kambing unik dimana giginya berwarna emas kekuningan akibat memakan rumpai laut dan lichen yang ada di pulau ini.
Berita mengenai spesis kambing unik ini akhirnya sampai ke pengetahuan pemerintah Sardinia ketika itu, Raja Carlo Alberto yang akhirnya mengambil keputusan untuk datang berburu di pulau kecil ini pada tahun 1836. Beliau telah disambut oleh anak Giuseppe Bertoleoni iaitu Paolo yang turut berperanan menemaninya berburu.
Setibanya di pulau Tavolara, Carlo Alberto memperkenalkan dirinya sebagai Raja Sardinia. Paolo kemudiannya membalas kembali dengan mengatakan beliau adalah Raja Tavolara.
Setelah berjaya memburu beberapa ekor kambing dan menetap di pulau ini selama 3 hari, Raja Carlo Alberto sangat mengagumi adab dan tingkah-laku Paolo dan menganggapnya benar-benar layak untuk menjadi Raja di Tavolara. Tidak lama kemudian, Carlo Alberto menghantar sepucuk surat dari istananya yang mengiktiraf kedaulatan kerajaan Monarki di pulau ini.
Paolo kemudiannya menghasilkan sebuah jata rasmi bagi kerajaannya itu dan meletakkannya di dinding rumahnya. Malah, beliau turut melukis carta salasilah keluarga di dinding rumahnya dan membina sebuah tanah perkuburan di pulau ini sebagai tempat pengkebumiannya dan keturunannya kelak.
Malah, beliau turut membuat wasiat yang meminta di atas kuburannya kelak turut diletakkan sebuah mahkota, sesuatu yang tidak pernah dipakainya sewaktu beliau hidup.
Pengiktirafan daripada kerajaan Britain
Pada tahun 1900-an, Queen Victoria yang pada ketika itu sedang mengumpulkan gambar semua ketua pemimpin negara telah menghantar seorang jurugambar peribadi ke Tavolara untuk mengambil gambar keluarga ini. Ini secara tidak langsung merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap kerajaan di pulau ini.
Gambar yang diambil itu dikatakan masih disimpan dan digantung di muzium Buckingham Palae di London. Malahnya, ianya turut digantung megah di restoran yang diuruskan oleh keluarga ini di pulau ini.
Tavolara pada masa kini
Kedaulatan kerajaan yang diasaskan oleh keluarga Giuseppe Bertoleoni dikatakan menemui penghujungnya pada tahun 1934 apabila Itali menuntut kedaulatan ke atas pulau ini. Pada 1962, pihak NATO juga telah masuk ke pulau ini dan membina sebuah pangkalan disini, seterusnya menguasai hampir separuh daripada pulau ini dan mengehadkan akses kepada pelancong dari luar.
Kini, keluarga ini hanya memiliki 50 hektar daripada jumlah keseluruhan pulau ini. Walaupun tidak lagi dianggap sebagai penguasa dan pemerintah Tavelora, mereka masih dianggap pelindung yang menjaga kebersihan dan keharmonian pulau ini.
Walaupun terdapat usaha untuk menuntut kembali kemerdekaan, nampaknya permintaan tersebut langsung tidak diendahkan sama sekali. Namun, sekiranya ia benar-benar terjadi, Tavolara sekali lagi boleh digelar sebagai negara yang terkecil di dunia seperti waktu dahulu.
Dalam undang-undang antarabangsa, negara berdaulat merupakan suatu entiti bidang kuasa bukan fizikal diwakili pemerintah berpusat yang memiliki kedaulatan ke atas suatu kawasan geografi tertentu.
Undang-undang antarabangsa mentakrifkan negara berdaulat itu sebagai mempunyai populasi atau kependudukan yang kekal, lingkungan kawasan yang jelas, sebuah pemerintah, dan keupayaan memasuki hubungan bersama negara berdaulat lain.