Adakah anda teringat dengan dialog ini dalam filem Seniman Bujang Lapok?
“Sudin: besar tak berapa besar la, kalau tak silap aku, tujuh kaki panjang, lima kaki lebar, dalamnya tu sama dengan panjang, 7 kaki jugak”
“Ajis: besar juga tu ya, tujuh kaki panjang, lima kaki lebar, ada siap dalam lagi ya, Eh itu kubvr, tempat ko nak mamp0s, bahal0l.
Sudah pasti anda akan teringat dengan dialog nostalgia ini dalam siri jenaka antara S.Shamsudin dengan Aziz Satar dalam filem Senimar Bujang Lapok, walaupun filem ini sudah berusia 60 tahun yang lalu.
Babak ini bukan sahaja pasal dialog itu, malah yang paling kita banyak perkatakan apabila reaksi Sudin yang memusingkan badannya meniarap menahan ketawa dan menutup muka kerana tergelak dengan lawak spontannya itu. Situasi itu adalah satu perkara yang agak ganjil tetapi babak itu terus menjadi sebahagian babak jenaka yang tidak dipotong dalam Filem itu.
Babak tersebut adalah antara yang paling ‘Legend’ kerana ianya berlaku secara spontan sahaja dan masih tidak dapat bayangkan, bagaimanalah reaksi krew-krew penggambaran yang ada ketika itu, pasti ramai yang sedang menahan ketawa.
Mengenali Allahyarham S.Shamsudin , nama sebenar beliau adalah Shamsudin bin Dali yang dilahirkan pada 1 Januari 1929 di Pasir Panjang, Singapura. Bakat lawak beliau yang lebih dikenali sebagai Sudin memang telah diakui oleh rakan-rakan kenalannya.
Pada sekitar tahun 1964, satu bengkel lakonan telah diadakan yang ketika itu diketuai oleh Seniman dan Pengarah Nordin Ahmad. Bengkel tersebut telah diadakan di Studio Cathay Keris dengan kerjasama beberapa majalah hiburan dan turut dihadiri oleh bakat-bakat baru yang ingin berkecimpung dalam dunia seni.
Pada akhir sesi bengkel itu, Nordin Ahmad ada bertanya kepada peserta, jika ada soalan jangan malu hendak bertanya dan bertanya kepada pelakon-pelakon yang lebih senior.
Tahukah anda, S.Shamsudin telah berlatih berlawak dengan menggunakan kerengga. Anda pasti ingat apabila anda menonton Filem Bujang Lapok , kita telah disajikan dengan pelbagai lawak jenaka spontan yang mencuit hati kita walaupun sudah ditonton berulang kali.
Sudin sebenarnya adalah antara tunggak utama yang telah menghidupkan babak lawak bersama dengan P.Ramlee dan Aziz Satar.
Kehebatan yang dimiliki Sudin dalam pembikinan filem ialah beliau tidak memerlukan skrip semasa membuat rakaman, beliau juga hebat bermain dengan mimik muka dan mampu buat penonton tergelak walaupun berlawak dengan mimik muka tanpa sebarang dialog.
S.Sudarmaji pernah berkongsi, Sudin biasanya akan berlatih seorang diri dengan cara meletakkan seekor kerengga atas batang hidungnya kemudian membiarkan kerengga itu berkeliaran di atas mukanya.
Dengan kaedah itu, Sudin boleh buat senaman muka kerana cuba mengelakkan kerengga itu dari terus berkeliaran atas mukanya. Hasil latihan itu, Sudin boleh melakukan mimik muka secara semulajadi tanpa dibuat-buat.
Melalui perkongsian dari Wahid Satay pula, beliau berpendapat sangat sukar untuk mendominasi pentas sekiranya bergandingan dengan Sudin ketika menjayakan Standup Comedy bersama.
“Bila dah jumpa kunci , barulah kita berjaya diamkan Sudin” Kata Wahid Satay
Begitulah sedikit sebanyak tentang keperibadian S.Shamsudin di mata rakan-rakan anak seninya. Beliau dianggap sangat berkarisma di eranya dan mempunyai kelasnya yang tersendiri.
Ini pula ada lagi kisah bagaimana Sudin mencabar Bhai berlawan gusti lengan.
Pada masa itu, S.Shamsudin sudah memang dikenali dalam kalangan rakan-rakan dan krew di Studio Jalan Ampas sebagai antara pelakon yang mempunyai badan yang tegap dan sado.
Pada ketika itu, beliau memang seorang yang rajin main angkat besi di waktu lapangnya sejak dari muda.
Pada suatu pagi, sebelum bermulanya proses penggambaran Filem Seniman Bujang Lapok, Sudin telah ‘challenge’ si Bhai Jaga di Studio itu untuk beradu kekuatan dalam pelawanan gusti lengan.
Watak Jaga yang dimainkan oleh pemilik nama sebenar Sarbans Singh seringkali berlakon sebagai watak extra dan kita banyak lihat lakonannya yang paling terkenal adalah dalam filem Pendekar Bujang Lapok yang menjadi salah seorang penumpang di Penambang yang menghumbankan Sharif Dol dalam sungai.
Bhai ini juga salah seorang yang dikenali sebagai Bengali yang berbadan tegap. Semasa Sudin mencabar Bhai, Bhai dalam keadaan bertopeng kerana sedang dalam penggambaran filem Indera Bangsawan , maka Bhai pun menerima cabaran Sudin untuk bergusti lengan.
Semasa itu, beberapa orang krew termasuk pengarah S.Sudarmaji (berdiri kanan sekali) telah berkumpul untuk melihat dan beri sokongan moral kepada Sudin.
Gusti lengan itu berlangsung hanya 3 minit sahaja, Sudin telah cuba mengerahkan seluruh tenaganya, urat lengan habis keluar sehingga dapat dilihat di dahi. Namun akhirnya, Sudin terpaksa mengalah dengan kegagahan Bhai Jaga. Sudin tumpas dalam masa 3 minit.
S.Shamsudin telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 4 Jun 2013 pukul 11 pagi dan telah dikebumikan di Pusara Abadi Singapura.
Perginya sahabat terakhir dalam Bujang Lapok adalah Aziz Satar yang mengikuti jejak langkah rakan seperjuanganya S.Shamsudin dan P.Ramlee yang telah meninggalkan kenangan manis buat kita semua.
Dengan pemergian Datuk Aziz Sattar, maka berakhirlah semua riwayat Seniman Bujang Lapok.
Al-Fatihah buat semua pelawak Seniman Bujang Lapok ini, semoga semua ditempatkan dengan para solihin. Mereka adalah lagenda dalam sejarah perfileman Melayu.