Malaysia merupakan antara sebuah negara yang telah berjaya menambat hati orang luar untuk menetap di sini kerana kepelbagaian dan keunikan budaya yang dimiliki.
Seperti yang dialami oleh seorang wanita kelahiran Perancis ini, yang telah ‘jatuh cinta’ dengan kesenian melayu sehingga mengabadikan usia panjangnya di Pulau Duyung, Terengganu.
Pada usianya yang sudah senja, Christine Longuet atau nama Islamnya, Rohani Abdullah (79 tahun) masih bersemangat untuk menyelesaikan kertas kajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Etnobotani di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Dia sudah mempunyai sarjana dalam seni bina di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
Dia juga memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sorbonne, Paris ketika berada di negara kelahirannya sebelum berhijrah ke Malaysia.

“Sudah lapan tahun saya berusaha untuk menyelesaikan PhD dan insya-ALLAH hanya berbaki lima peratus kertas kerja yang belum siap.
“Saya berharap dengan usaha gigih saya mampu menyiapkannya dalam masa terdekat kerana kekangan waktu membuatkan ia masih belum selesai,” ujarnya yang membuat kertas kajian berhubung kebudayaan dan perubahan masa di Terengganu.
Selain menyambung PhD, Rohani menulis buku dan koleksi puisi tempatan seperti Puisi Duyung Pulau Rakyat serta Amanah: Journey An Architect.
Tertarik Dengan Kehidupan & Kesenian Masyarakat
Menurutnya, tempoh anggaran 51 tahun menetap di Kampung Pulau Duyung membuatkan dia sudah sebati dengan kehidupan, kesenian dan kebudayaan komuniti setempat di situ.
Rohani berkata, kali pertama menjejakkan kaki ke kampung itu, hatinya sudah terpikat dengan kehidupan komuniti tempatan selain kagum dengan kesenian terutama warisan membuat bot dan perahu layar.

Sambungnya, satu ketika dahulu ramai individu dari benua Eropah datang untuk menempah kapal layar buatan tukang-tukang tempatan yang berkemahiran tinggi dalam pembuatan kenderaan laut berkenaan.
Disebabkan kesenian dan kebudayaan membuatkan Rohani berasa amat sukar untuk meninggalkan negeri ini disamping sudah lama menetap di kampung berkenaan.
Dia turut menceritakan pengalaman mempelajari bahasa tempatan di tebing Sungai Terengganu dengan tukang-tukang yang membuatkan bot dan perahu layar.
5 Tahun Belajar Bahasa Melayu Dan Temui Cinta Dengan Anak Tok Imam
Bermula dari hajat mahu menyelami warisan Melayu dan belajar membuat kapal di Terengganu akhirnya bertemu jodoh di sana bersama anak tok imam.
Dia juga memberitahu mengambil masa lima tahun untuk pandai berbahasa Melayu setelah berkahwin dengan suami, Wan Osman Wan Abdullah pada 1977 ketika berusia 34 tahun. Hasil perkongsian hidup dengan arwah suaminya itu, dia dikurniakan empat cahaya mata berusia 37 hingga 45 tahun.

Kisah pencintaan wanita Paris itu dengan suaminya pernah dijadikan dokumentari dan juga ditayangkan di Astro Prima.
Pernah Miliki Kapal Layar
Katanya, suatu ketika dahulu dia memiliki kapal layar bernama Ganti Rampai dan pernah membuat pelayaran dengan membawa anak-anak belayar di Laut China Selatan.
“Kapal layar milik suami masih ada, tetapi kini berada di bengkel bagi kerja baik pulih dengan reka bentuk ‘pinis gobel’ itu menjadi kenangan buat kami sekeluarga,” katanya.

“Itu kisah dulu, namun kini dalam usia emas saya ingin menyiapkan kertas kajian di peringkat PhD dan banyak perubahan sudah saya lihat sejak era 70-an hingga kini yang berlaku di kampung ini.
“Dahulu suasananya lain kini ianya sudah lain. Ada juga tradisi yang kian ditelan zaman dan apa yang dapat dilihat iaitu industri pembuatan kapal layar dan bot juga semakin suram,”ujarnya.
Menurutnya, walaupun pembangunan semakin pesat, dia masih berharap tradisi di kawasan sekitar kampung itu tetap terjaga.
Begitulah perjalanan hidup Puan Rohani. Jika tidak kerana kemuncak Pɛrang Vietnam sekitar 50 tahun lalu, mungkin rakaman perjalanan hidupnya berbeza daripada sekarang.
Namun, takdir menentukan dirinya mengabadikan lebih separuh usia sebagai warga Pulau Duyong, Kuala Terengganu. Semoga dipanjangkan umur dan berjaya memperolehi PhD.