Asalamualaikum para pembaca sekalian, nama diberi Rina seorang ibu ,isteri dan juga majikan yang sudah berusia lewat 30-an. Aku ada pekerja dalam 20 orang dan semuanya majoriti anak muda yang sudah habis SPM dan Fresh Grad.
Bila cakap sahaja tentang dua golongan mudah, semua tahu, inilah anak muda yang baru sahaja nak hidup, sedang membina kehidupan dan baru nak rasa duit sendiri selepas tamat belajar. Aku sebagai boss diorang kalau boleh nak yang terbaik untuk staff dan jadikan mereka sebagai kawan supaya mereka rasa selesa dan boleh meluah rasa atau kalau ada apa-apa masalah di tempat kerja atau hal-hal lain jugak.
Bila aku tengok kebanyakan staff aku ni banyak yang ada masalah kewangan dan ia berpunca dari dari ibu bapa mereka sendiri. Maaf cakap, bukanlah nak bagitau kita sebagai anak tak perlu tolong mak ayah, tapi sebagai ibubapa ni kita kena berpada-padalah.
Ada seorang staff aku ni nama dewi, baru je kerja tiga bulan, tiba-tiba datang jumpa aku tanya pasal macam mana nak buat personal loan. Aku pun pelik gak, dia ni nak kahwin ke? Rupa-rupanya ayah dia sendiri yang suruh sebab dah banyak sangat beban hutang.
Kereta aje ada dua biji, rumah lagi, baru ni pergi beli motor baru pula secara ansuran, konon-konon senangla sikit nak pergi surau. Ayah dia ni dulu kerja kerajaan, sekarang dah bersara, setahun sebelum bersara baru ambik kereta baru lagi, hutang lama masih ada baki 3 tahun.
Aku sebagai boss rasa pelik, keranap staf aku tak happy bila setiap kali dapat gaji, hari-hari bawak bekal nasi dengan telur. Bila siasat betul-betul rupanya masalah dari ibu bapa sendiri.
Aduhai, bila dah pencen ni baru tahu , sedar diri duit tak cukup nak tampung komitmen bulanan. Duit banyak habis sebab selepas sahaja pencen, pergi buat pulak major renovation rumah dan pergi melancong luar negara. Loan si Dewi ni tak lepas tapi terpaksa jugak bayar ansuran bulanan kereta baru ayahnya, tapi dewi diberinya guna kereta lama.
Korang cuba bayangkan,budak muda lagi terpaksa bawak mpv datang kerja dengan kos minyak yang aku boleh cakap memang cekik darah. Setiap bulan ada aje masalah dekat kereta tu sampai siap ada hashtag lagi #ketedewibuathalpabulanni.
Dia bekerja sebagai kerani dalam company aku, gaji RM2500, tolak ansuran kereta RM900, ansuran motor ayah lagi RM150, lepastu PTPTN lagi, berapa ajelah yang tinggal untuk dia. Dia cerita masa loan dia tak lulus tu, ayah dia duk ungkit balik cerita lama, kos membesarkan dia, kalau dewi taknak bayar, lagi teruk dia kena marah dengan ayah dia. Tepuk dahi aku.
Staff kedua aku pulan nama Arman, dia anak kedua dalam keluar, inilah orang yang langsung tak happy bila dah masuk gaji. Kenapa? sebab cukup sahaja 1HB mak ayah dia akan wasap dan ingatkan jangan lupa bank in duit. Tak cukup lagi dengan tu, setiap minggu ada je mintak itu ini suruh beli barang.
Pernah sekali tu, dia suruh aku sendiri belikan, nanti tolak gaji dia. Dikira advance lah. Sekali aku tengok barang dibeli, mak aih tudung beratus ringgit. Aku sendiri sebagai boss pun tak pakai tudung harga macam tu. Seram rasa, nak checkout pon menggigil dah tangan.
Aku tengok muka, rasa kesian sangat, sumpah kesian gila. Kesian sebab setiap hari ikat perut, hari-hari bawak nasi dengan telur, dan sambal segera. Masa zaman sebelum PKP dulu ada banyak jugak kedai nasi bajet RM4 kat area pejabat ni, bolehlah jugak Arman ni beli, tapi mungkin peniaga pun dah tak boleh cover kos kenaikkan harga barang.
Setiap hari Jumaat, kebiasaanya akan diadakan bacaan yasin, ada jamuan kecil untuk pekerja, masa tulah diorang bawak bekas siap-siap untuk tapaw waktu makan malam. Dia kata hari Jumaat je boleh makan sedap-sedap, hari lain, hanya makan nasi berlauk telur dan maggie. Arman ni pun ada hashtag jugak di kalangan pekerja #makArmanmintakapabulanni?
Kisah ketiga pulak, nama pekerja aku ni Nad, ayah dia pinjam personal loan untuk buat kenduri kahwin kakaknya. Kakak dia tu tak kerja, hanya suri rumah sepenuh masa. Ayah dah tak mampu nak bayar hutang personal loan tu, jadi terpaksalah bayar sebab kasihankan ayah. Nad ni sendiri pun dalam perancangan nak kahwin.
Aku ingatkan pengalaman kahwinkan anak pertama dah buat ayah dia nia menyesal, rupanya tabiat sama aje. Dia ni masih nak si Nad ni kahwin meriah macam kakak dia dengan bermodal personal loan 30k tu. Tapi dia pergi suruh tunang si Nad yang apply, bukannya Nad.
Aku dengan kisah-kisah staf aku ni memang rasa menyirap, manalah akal fikiran yang telah dianugerahkan tuhan kepada mak ayah diorang ni? Tak kesian ke kat anak-anak, baru-baru mak dia mengadu sakit badan, minta ganti tilam baru, tilam pulak yang jenis bayar bulan-bulan sebab katanya ada servis.
Staff lain dengar permintaan maknya tu memang rasa geram, diorang pakat suruh Nad beli aje tilam biasa, yang jenama elok sikit dan belilah vacumm kalau nak cuci tilam tu. Setiap hari nak servis pun boleh, tak payah beli tilam bayar bulan-bulan, harga beribu. Jenama biasa pun dah okay, dah kalau tak mampu, nak paksa diri buat apa?
Sebenarnya banyak lagi staf aku yang ada masalah kewangan macam ni,tanda-tanda diorang ada masalah bila kerap sangat mintak advance, sebulan tu sampai dua tiga kali. Aku okey aje, tapi bila sampai masa hari gaji, tengok baki gaji diorang, tak sanggup nak tengok.
Kadangkala aku tanya jugak diorang ni,nak bayar penuh ke atau sikit-sikit sebab dah tau balance gaji tu memang takkan bertahan lama.
Ni pesanan aku dekat mak ayah, bertimbang rasalah dengan anak sendiri, hari-hari bagi syarahan dekat anak suruh berjimat tapi sendiri duk beli benda bukan-bukan, mahal pulak tu.
Berilah peluang kat anak-anak nak rasa duit, baru nak bina hidup. Kesian sungguh, ramai yang terpaksa ikat perut sebab nak tolong mak ayah bayar hutang yang lebih kepada hutang kehendak, bukan keperluan, Zaman-zaman boleh shopping online ni dah ada buat COD, aku tengok ramai staff aku ada masalah yang semakin tertekan, tambah lagi kalau duduk serumah dengan mak ayah.
Mak senang lenang pergi order barang, bila barang sampai suruh anak bayar. Kadang-kadang tu siap letak alamat ofis anak. Terpinga-pinga budak tu terpaksa keluarkan duit. Aku sebagai boss ni pun, boleh cakap aku ni golongan yang berkemampuan, tapi aku sendiri pun berjimat, kereta masih guna kereta lama, tahun 2010 dulu masa baru start bisnes.
Aku pun dulu orang susah, ayah aku kerja pengawal keselamatan je. Masa aku nak kahwin, ayah hanya minta majlis diadakan cukup seadanya sahaja. Alhamdulilah majlis tetap meriah, takde guna belanja banyak sangat, Duit bulanan yang aku bagi kat mak ayah tak pernah miss, setiap bulan bagi, ada rezeki lebih aku bagi lebih lagi.
Masa aku tengah susah dulu, mereka pun faham kalau aku tak pernah bagi lebih, Tapi alhamdulilah sekarang aku dah cukup stabil untuk beri lebih kepada mak ayah aku. Untuk ibu ayah yang memahami, semoga Allah merahmati kalian semua ya. Buat mak ayah yang masih leka lagi dengan keenakan dunia yang sementara, stoplah! tolong beri anak ruang dan peluang untuk diorang hidup. Untuk anak muda yang sedang berjuang, semoga Allah mudahkan rezeki dan urusan korang.
Setakat nak tolong sikit-sikit tu takde masalah, takde duit minyak ke makan ke aku rasa benda tu okay je, tapi perangai bermewah tu tak berubah, sampai bila-bila takkan habis. Aku sebagai majikan hanya boleh bagi gaji on time setiap bulan. Staf aku semua bagus-bagus, aku doakan mereka yang terbaik, dimurahkan rezeki. Aku akan sentiasa doakan mereka.