Masalah buli yang berlarutan tanpa kesudahan terus menghantui dalam masyarakat kita. Ianya dilihat masih menemui jalan buntu dan dianggap satu situasi normal yang biasa berlaku dalam mana-mana institusi pelajaran. Kisah yang paling mengejutkan sehingga dibawa ke arus perdana ialah perginya Zulfarhan Osman yang merupakan pelajar UPNM akibat dibuli oleh rakannya sendiri.
Ini adalah satu lagi pendedahan yang perlu kita sama-sama tahu bahawa ianya merupakan masalah yang cukup serius di masa ini.
Asalamualaikum semua, melihat kepada masalah buli yang menyedihkan yang telah menimpa pelajar UPNM Zulfarhan Osman sehingga meragut nyawa membuatkan aku turut terpanggil untuk menceritakan cerita adik aku sendiri yang aku namakan dia sebagai A.
A adalah adik aku yang kelima. Dia secara peribadi seorang yang pemalu, sopan, ceria dan rajin belajar di sekolah. A juga adalah pelajar yang pintar dalam kelas. Dalam keluarga kami, adik aku inilah yang menjadi harapan kami sekeluarga. Tetapi beberapa ketika, semakin lama aku lihat adik aku ni semakin berubah.
Perubahan ini aku mula sedar bila aku pulang ke rumah untuk bercuti dari tempat belajar aku. A jadi mula sudah tidak fokus lagi pada pelajaran. Aku makin rasa ada benda tak kena bila aku lihat A pegang pencil dan merenung buku di meja belajar dalam masa yang sangat lama sehingga berjam jam.
Sepanjang aku kenal adik aku tu, aku tak pernah tengok dia macam tu, aku pun mula mendekati dia dan bertanya sendiri , A kenapa ni? ada apa-apa yang jadi ke kat sekolah? ada masalah ke? ada masalah dengan kawan ke?. A cuma tersenyum dan cakap takde apa-apa. Aku pun tanya lagi, A kat sekolah ada orang yang buli tak?
A hanya menjawab, biasala tu kawan-kawan. Aku masih tak puas hati dengan jawapan adik aku ni. Kata dalam hati aku kuat mengatakan adik aku ni dah kena buli sebab aku aku tahu, perwatakan ‘nerd’ macam tu biasanya akan menjadi sasaran budak-budak yang baru nak up di sekolah ni.
Lepas hari tu, aku mula cari buku nota atau diari yang dimiliki A sebab seingat aku A ni suka menulis dan akhirnya apa yang cari jumpa, tapi malangnya tiada pulak tanda-tanda atau ‘clue’ yang aku jumpa. Tapi perkara pelik yang aku terjumpa dalam diari A ni adalah jadual A setiap hari di sekolah.
A akan tulis secara detail dalam jadual wakti bila dia akan pergi mandi, makan, buat air milo, menggosok gigi dan perkara-perkara kecil yang lain. Contohnya, pukul 3 petang dia mandi, 3.15 lepas tu gosok gigi, 4 petang buat air milo dan lain-lain perkara. Dalam diari tu juga ada ayat-ayat yang ditulis sebagai kata-kata untuk dirinya sendiri.
Contohnya, A kenapa tak dah tak boleh fokus. Fokus! jangan hampakan harapan ibu ayah. Aku terus terduduk baca ayat tu. Aku jadi makin tertanya-tanya, apa yang buat A berubah sampai macam ni. Aku dah berkali-kali tanya, A ada masalah ke tak ni?.
Kalau ada ceritalah , jangan sorok, tak semua benda kita boleh pendam sorang-sorang, ada masanya kita kena kongsi. Bagusnya adik aku ni, dia ada satu sifat terpuji iaitu tak suka cakap buruk pasal orang lain. Aku mula syak, dia badmouth kawan-kawan dia, sebab tulah A taknak cerita.
Tapi sikap A yang memendam sendirian dan tak berkongsi inilah yang semakin menjerat diri A sebenarnya. Setiap kali aku tanya, setiap kali tulah jugak dia hanya senyum je dan cakap ‘takde apalah’ . Aku rasa silap aku juga tak siasat betul dan hanya percaya sahaja dengan cakap A.
Aku cuma fikir, dah adik aku takde cakap apa-apa masalah, jadi aku positif aje lah fikir, aku hanya fikus owh dia mungkin stress belajar tu. Akhirnya semuanya terdedah bila dalam satu malam tu dalam pukul 3 pagi, A ni tiba-tiba meraung macam kena pukul. Dia meraung, menjerit sambil tutup mata dan air matanya menitis.
Aku sekeluarga rasa bingung, kami tanya kenapa menjerit? Tapi A tak jawab dan keesokannya tiba-tiba adik aku tak ubah seperti bayi, dia sudah tidak boleh urus diri lagi, dia dah lupa bagaimana anak mandi, gosok ggi, pakai dan lain-lain. Inilah ujian terhebat kami sekeluarga.
Korang bayangkanlah, seorang adik yang comel bertatih-tatih, berjalan, berlari dan membesar dengan normal tiba-tiba boleh berubah sebegitu rupa menjadi anak yang sudah tidak normal lagi. Jadi mak ayah buat keputusan terus pegi sekolah A. Mak ada bertanya dengan pelajar-pelajar kelas A dan alhamdulilah ada yang sudi kongsi cerita.
Rupa-rupanya A memang selalu jadi bahan buli dalam kelas. A pernah kena tumbuk, pensilnya di patah-patahkan, buku nya di baling merata tempat, seluar A di lorot ke bawah untuk dijadikan bahan jenaka dalam jelas. Kami buat keputusan untuk melaporkan hal ini kepada polis tapi pihak sekolah dari pegawai atasan merayu untuk tidak buat report.
Mereka cakap kasihanilah anak pelajar ni , mereka sudah nak exam PT3, Mak Ayah aku pun manusia, awalnya mereka berkeras untuk membela keadilan terhadap A, tapi sebab kasihan pada anak-anak pelajar ni, takut ganggu pelajaran, Mak Ayah sanggup buat keputusan lepaskan sahaja.
Aku memang marah, aku cakap pembuli ni sepatutnya dihukum, adik aku dah jadi tak normal, dah tak macam orang, dah separuh gila macam haiwan. Tapi mak aku pujuk, cakap diorang masih muda, kita patut beri peluang.
Aku pun tak tahu dari mana datangnya kesabaran Mak Ayah aku ni, sungguh mulia hati diorang melepaskan sahaja. Kalau perkara ni jadi kat anak aku sendiri, tak mungkin aku boleh maafkan budak-budak ni. Sekarang adik aku ni tak macam dulu. Malam dia meraung tu, itulah malam terakhir dan aku dah kehilangan adik aku yang dulu.
Ianya hilang bersama kisah adik aku yang kami tak pernah tahu tentang pengalaman dibuli yang A lalui. Aku harap A boleh sembuh semula, korang doakanlah buat adik aku ni supaya dia boleh sembuh dan jadi sihat macam dulu. Manalah tahu, dalam doa-doa korang ada yang akan dimakbulkan. Sebab bulilah aku dah kehilangan adik aku.